Rebut Peluang, Pamer Keupayaan Dan Inovasi Pada DSA 2024 – PM Anwar
KUALA LUMPUR, 6 Mei – Syarikat pertahanan tempatan perlu merebut peluang di pentas Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024 untuk mempamerkan keupayaan dan inovasi di pentas global, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, pameran DSA dan NATSEC 2024 memainkan peranan penting dalam membentuk landskap pertahanan negara.
Sehubungan itu, katanya, syarikat pertahanan tempatan perlu menonjolkan keupayaan dan kepakaran masing-masing.
“Biarkan pavilion anda berdiri sebagai mercu tanda kecemerlangan, menyerlahkan bukan sahaja kehebatan teknologi tetapi juga komitmen terhadap kerjasama dan perkongsian.
“Saya katakan kepada anda Carpe Diem. Rebutlah peluang ini untuk mempamerkan kebolehan dan inovasi kita di peringkat global,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Pameran DSA dan NATSEC Asia 2024 yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini di Pusat Pameran Perdagangan Antarabangsa (MITEC), di sini.
Yang turut hadir, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Anwar berkata, acara dan perbincangan dalam tempoh tiga hari itu akan menjadi pemangkin kepada perubahan positif dan ke arah masa depan yang terjamin terutamanya untuk generasi akan datang.
“Marilah kita sama-sama bangkit, membina dunia yang berdaya tahan… bukti kekuatan yang terdapat dalam perpaduan.
“Masa depan di tangan kita. Marilah kita membentuknya dengan harapan, keazaman dan keberanian keyakinan,” katanya.
Dalam beberapa hari akan datang, kita mempunyai peluang besar untuk dialog penting antara negara, sektor pertahanan dan industri keselamatan.
“Saya menggesa semua peserta untuk bersama-sama, berkongsi pengetahuan, berinovasi, bertukar-tukar teknologi dan idea baharu, dan menjalin perkongsian,” katanya.
Acara dwitahunan yang memasuki edisi ke-18 kali ini disertai 1,324 syarikat pertahanan dan keselamatan membabitkan 60 negara di dunia termasuk Amerika Syarikat, China, Australia, Brazil, Jerman, India, Perancis, Itali, Korea Selatan, Turkiye, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan United Kingdom.
Antara syarikat gergasi dunia yang menyertai pameran selama empat hari itu adalah Airbus Group, BAE System, Beretta Defence Techonologies (BDT), EDGE, Leonardo, MBDA dan Sarsilmaz Silah Sanayi (Turkish Industry Association).
Penyertaan syarikat tempatan pula termasuk DEFTECH, Advanced Defence System, OpenApps, MILDEF, Sapura, Malvus Sense, Weststar Group, Nadi Corp, SME Ordnance, System Consultancy Services dan Mindmatics.